Kisah Abu Bakar R.A.
Kisah Menarik - Islamnya Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq ra!!
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a adalah manusia paling agung dalam sejarah
Islam sesudah Rasulullah SAW. Kemuliaan akhlaknya, kemurahan hatinya dalam
mengorbankan harta benda dan kekayaannya untuk Islam, kebijaksanaannya dalam
menyelesaikan masalah umat, ketenangannya dalam menghadapi kesukaran,
kerendahan hatinya ketika berkuasa serta tutur bahasanya yang lembut lagi
menarik adalah sukar dicari bandingannya baik dahulu mahupun sekarang.
Dialah tokoh sahabat terbilang yang paling akrab dan paling disayangi
Rasulullah SAW. Nama sebenar Sayyidina Abu Bakar As Siddiq adalah Abdullah bin
Qahafah. Sebelum Islam, beliau adalah seorang saudagar yang tersangat kaya dan
dari keluarga bangsawan yang sangat dihormati oleh masyarakat Quraisy. Bahkan
sebelum memeluk Islam lagi, Abu Bakar terkenal sebagai seorang pembesar Quraisy
yang tinggi akhlaknya dan tidak pernah minum arak sebagaimana lazim dilakukan
oleh pembesar-pembesar Quraisy yang lain.
Dari segi umur, Sayyidina Abu Bakar r.a adalah dua tahun lebih muda dari
Rasulullah SAW dan telah menjalin persahabatan yang akrab dengan baginda Rasul
lama sebelum Rasulullah SAW menjadi Rasul. Beliaulah tokoh sahabat besar yang
paling banyak berkorban harta benda untuk menegakkan Islam di samping Nabi
Muhammad SAW.
Besarnya pergorbanan beliau itu sehingga Rasulullah SAW pernah mengatakan
bahawa Islam telah tegak di atas harta Siti Khadijah dan pergorbanan Sayyidina
Abu Bakar r.a. Adapun gelaran As Siddiq yang dberikan kepadanya itu adalah
kerana sikapnya yang selalu membenarkan apa sahaja kata-kata mahupun perbuatan
Nabi Muhammad SAW.
Dalam hal ini elok kita petik suatu kisah seperti yang diriwayatkan oleh Ibnu
Mas’ud yang diceritakan sendiri oleh Sayyidina Abu Bakar, tentang bagaimana
Sayyidina Abu Bakar r.a memeluk agama Islam.
Kata Sayyidina Abu Bakar r.a, “Aku pernah mengunjungi seorang tua di negeri
Yaman. Dia rajin membaca kita-kitab dan mengajar ramai murid. Dia berkata
kepadaku:
“Aku kira tuan datang dari Tanah Haram.”
“Benar,” jawabku.
“Aku kira tuan berbangsa Quraisy?”
“Benar,” ujarku lagi.
“Dan apa yang aku lihat, tuan dari keluarga Bani Tamim?”
“Benarlah begitu,” tambahku selanjutnya.
Orang tua it terus menyambung katanya, “ Ada satu hal yang hendak aku tanyakan
dari tuan, iaitu tentang diri tuan sendiri. Apakah tak keberatan jika aku lihat
perutmu?”
Maka pada ketika itu aku pun berkata,” Aku keberatan hendak memperlihatkan
selagi tuan tidak nyatakan kepadaku perkara yang sebenarnya.”
Maka ujar orang tua itu, “Aku sebenarnya melihat dalam ilmuku yang benar bahawa
seorang Nabi Allah akan diutus di Tanah Haram. Nabi itu akan dibantu oleh dua
orang sahabatnya, yang seorang masih muda dan seorang lagi sudah separuh umur.
Sahabatnya yang muda itu berani berjuang dalam segenap lapangan dan menjadi
pelindungnya dalam sebarang kesusahan. Sementara yang separuh umur itu putih
kulitnya dan berbadan kurus, ada tahi lalat di perutnya dan ada suatu tanda di
paha kirinya. Apalah salahnya kalau tuan perlihatkan kepadaku.”
Maka sesudah dia berkata itu aku pun membuka pakaianku lalu orang tua itu pun
melihatlah tahi lalat hitam di atas bahagian pusatku seraya berkata, “Demi
Tuhan yang menguasai Kaabah, tuanlah orangnya itu!”
Kemudian orang tua itu pun memberi sedikit nasihat kepadaku. Aku tinggal di
Yaman untuk beberapa waktu kerana mengurusi perniagaanku dan sebelum
meninggalkan negeri itu, aku sekali lagi pegi menemui orang tua tersebut untuk
mengucapkan selamat tinggal kepadanya. Kemudian dia lalu bertanya, “Bolehkah
tuan menyampaikan beberapa rangkap syairku?”
“Boleh sahaja,” jawabku.
Setelah itu aku pun membawa pulang syair-syair itu ke Mekah. Setibanya aku di
Mekah, para pemuda bergegas datang menemuiku seraya berkata, “Adakah engkau
tahu apa yang sudah terjadi?”
Maka ujarku pula, “Apakah yang terjadi itu?”
Jawab mereka, “Si yatim Abu Talib kini mengaku menjadi Nabi! Kalaulah tidak
mengingatkan engkau hai Abu Bakar, sudah lama kami selesaikan dia. Engkaulah
satu-satunya yang kami harapkan untuk menyelesaikannya.”
Kemudian aku pun meminta mereka pulang dahulu sementara aku sendiri pergi
menemui Muhammad. Setelah menemuinya aku pun mengatakan, “Wahai Muhammad, tuan
telah mencemarkan kedudukan keluarga tuan dan aku mendapat tahu tuan terang-terang
telah menyeleweng dari kepercayaan nenek moyang kita.”
Maka ujar baginda, “Bahawa aku adalah Pesuruh Allah yang diutuskan untukmu dan
untuk seluruh umat!”
Aku pun bertanya baginda, “Apa buktinya?”
Jawab Baginda, “Orang tua yang engkau temui di Yaman tempoh hari.”
Aku menambah lagi, “Orang tua yang mana satukah yang tuan maksudkan kerana
ramai orang tua yang aku temui di Yaman itu?”
Baginda menyambung, “Orang tua yang mengirimkan untaian syair kepada
engkau!”
Aku terkejut mendengarkannya kerana hal itu tiada sesiapa pun yang
mengetahuinya. Lalu aku bertanya, “Siapakah yang telah memberitahu tuan, wahai
sahabatku?”
Maka ujar baginda, “Malaikat yang pernah menemui nabi-nabi sebelumku.”
Akhirnya aku berkata, “Hulurkan tangan tuan, bahawa dengan sesungguhnya aku
naik saksi tiada Tuhan yang ku sembah melainkan Allah, dan tuan (Muhammad)
sebenarnya pesuruh Allah”
Demikian kisah indah yang meriwayatkan bagaimana Islamnya Sayyidina Abu Bakar
as Siddiq. Dan memanglah menurut riwayat beliau merupakan lelaki pertama yang
beriman kepada Rasulullah SAW.
Keislaman Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a telah membawa pengaruh besar di
kalangan kaum bangsawan Quraisy kerana dari pengaruh keislamannya itulah maka
beberapa orang pemuda bangsawan Quraisy seperti Sayyidina Usman bin Affan r.a,
Sayyidina Abdul Rahman bin Auf r.a, Sayyidina Saad bin Waqqas r.a menuruti
jejak langkahnya.
Semenjak memeluk Islam, Sayyidina Abu Bakar r.a telah menjadi pembela Islam
yang paling utama serta seorang sahabat yang paling akrab serta paling dicintai
Rasulullah SAW. Seorang sahabat, Sayyidina Amru bin Al As r.a pernah suatu hari
menanyakan Rasul, “Siapakah di antara manusia yang paling tuan sayang!”
Baginda menjawab, “Siti Aisyah dan kalau laki-laki adalah bapanya.”
Selain itu, Sayyidina Abu Bakar as Siddiq r.a terkenal dengan keteguhan
imannya, cerdas akal, tinggi akhlak, lemah lembut dan penyantun. Rasulullah SAW
pernah bersabda:
“Jika ditimbang iman Abu Bakar As Siddiq dengan iman sekalian umat maka berat
lagi iman Abu Bakar.”
Demikian teguhnya iman Sayyidina Abu Bakar r.a. Gelaran As Siddiq yang
diberikan terhadap dirinya itu lantaran sikap serta pendiriannya yang teguh
dalam membenarkan serta membela diri Rasulullah SAW. Andainya sekalian umat
manusia mendustakan Muhammad SAW, Abu Bakar r.a pasti akan tampil dengan penuh
keyakinan untuk membelanya.
Setelah memeluk Islam, Sayyidina Abu Bakar menyerahkan seluruh kekayaan dan
jiwa raganya untuk melakukan perjuangan menegakkan Islam bersama Nabi Muhammad
SAW. Beliau telah mengorbankan seluruh harta bendanya untuk menebus orang-orang
yang ditawan, orang-orang yang ditangkap atau diseksa. Beliau juga telah
membeli hamba-hamba yang kemudian dimerdekakannya. Salah seorang daripadanya
ialah Sayyidina Bilal bin Rabah r.a.
Tatkala Nabi Muhammad SAW selesai melakukan Israk dan Mikraj, segolongan orang
yang kurang mempercayai apa yang telah dikhabarkan Rasulullah SAW telah pergi
menemui Sayyidina Abu Bakar r.a untuk mendengarkan apa pendapatnya tentang
dakwaan Muhammad SAW itu.
Sebaik mendengarnya, Sayyidina Abu Bakar terus berkata,” Adakah Muhammad
berkata begitu?”
Sahut mereka, “Benar!”
Maka ujar Sayyidina Abu Bakar r.a, “Jika Muhammad berkata begitu maka sungguh
benarlah apa yang diceritakan itu.”
Lalu mereka pun terus menyambung, “Engkau percaya hai Abu Bakar bahawa
Muhamamad sampai ke tanah Syam yang jauhnya sebulan perjalanan, hanya dalam
satu malam?”
Maka sahut Abu Bakar sungguh-sungguh, “Benar! Aku percaya! Malah lebih dari itu
pun aku percaya kepadanya. Aku percaya akan berita dari langit yang
diberitakannya, baik pada waktu siang mahupun di waktu malam!”
Demikian hebatnya keyakinan sahabat yang paling utama itu. Oleh kerana tegas
dan teguhnya iman beliau terhadap agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW dan
terhadap apa yang dikhabarkan oleh baginda maka beliau telah diberi
gelaran As-Siddiq, ertinya yang membenarkanoleh Rasulullah SAW.
Tidaklah menghairankan sikap Abu Bakar itu. Beliau telah lama mengenali
Muhammad SAW, bukan sehari dua. Beliau tahu bahawa sahabatnya itu sentiasa
berkata benar, tidak pernah bohong hingga digelar orang Al Amin.
Tatkala kekejaman musyirikin Quraisy terhadap kaum muslimin yang sedikit
jumlahnya di Mekah semakin hebat dan membahayakan, Nabi Muhammad SAW telah
memberitahu Sayyidina Abu Bakar r.a supaya menemaninya dalam hijrah tersebut.
Dengan perasaan gembira tanpa sedikit kebimbangan pun Sayyidina Abu Bakar r.a
menyambut permintaan Rasulullah SAW.
Dari pintu belakang rumah Sayyidina Abu Bakar r.a, Rasulullah SAW bersama-sama
Sayyidina Abu Bakar menuju ke Gua Tsur dan bersembunyi di situ. Pada saat
suasana amat kritikal, Sayyidina Abu Bakar r.a diserang kegelisahan dan cemas
kerana khuatir kalau-kalau musuh dapat mengetahui di mana Rasulullah SAW sedang
bersembunyi, maka turunlah ayat suci Al Quran dari Surah At Taubah yang isinya
memuji Sayyidina Abu bakar As Sidiq, sebagai ‘orang kedua’ sesudah Nabi
Muhammad SAW dalam Gua Tsur. Dalam pada itu Rasulullah SAW pun mengerti akan
situasi dan kegelisahan sahabatnya itu yang oleh kerananya Rasul SAW berkata,
“Apakah yang mengelisahkanmu, bukankah Allah bersama kita?”
Kemudian Rasulullah SAW berkata, “Kiranya mereka masuk juga ke dalam gua ini,
kita masih dapat melepaskan diri dari pintu belakang itu,” ujar Rasulullah SAW
sambil menunjukkan ke belakang mereka.
SayyidinaAbu Bakar r.a pun menoleh ke belakang. Betapa terkejutnya beliau bila
dilihatnya pintu belakang yang ditunjuk oleh Rasul itu, padahal pintu tersebut
tadinya tidak ada sama sekali. Sebenarnya kebimbangan Abu Bakar r.a tatkala di
dalam gua itu bukanlah kerana takutkan nyawanya diragut oleh pihak musuh tetapi
yang lebih dibimbangkannya ialah keselamatan jiwa Baginda Rasul.
Beliau pernah berkata kepada Baginda Nabi saw,”Yang saya bimbangkan bukanlah
diri saya sendiri. Kalau saya terbunuh, saya hanyalah seorang manusia biasa.
Tapi andai kata tuan sendiri dapat dibunuhnya maka yang akan hancur ialah
Islam.”
Ucapan antara dua orang sahabat tatkala dalam gua tersebut di dalam Al-Quran
pada Surah At-Tawbah ayat 40:
“Kalau kamu tidak menolongnya (Muhammad) ketika dia diusir oleh orang-orang
kafir (dari kampung halamannya), dalam keadaan berdua orang sahaja di dalam
suatu gua, di kala itu dia (Muhammad) berkata kepada sahabat karibnya (Abu
Bakar) : Jangan engkau berdukacita, sesungguhnya Tuhan bersama kita. Tuhan
menurunkan ketenangan kepadanya dan dikuatkannya dengan tentera yang tidak kamu
lihat. Dan Tuhan menjadikan perkataan orang kafir itu paling rendah dan
perkataan Tuhan itu yang amat tinggi. Dan Tuhan Maha Kuasa dan
Bijaksana.”
Demikian satu lagi keistimewaan Sayyidina Abu Bakar As Siddiq sebagai seorang
sahabat yang sama-sama mengalami kesukaran dan kepahitan bersama-sama
Rasulullah SAW dalam menyampaikan seruan Islam. Sayyidina Abu Bakar r.a tidak
bercerai jauh dengan Baginda Rasul sepanjang hidupnya dan menyertai semua
peperangan yang dihadapi Baginda. Beliau bukan sahaja berjuang menegakkan agama
Islam dengan segenap jiwa raganya bahkan juga dengan harta kekayaannya. Sungguh
beliaulah yang paling banyak sekali berkorban harta untuk menegakkan agama
Islam. Bahkan seluruh kekayaannya telah habis digunakannya untuk kepentingan
perjuangan menegakkan kalimah Allah. Di kalangan para sahabat beliaulah
tergolong orang yang paling murah hati dan dermawan sekali.
Dalam perang Tabuk misalnya, Rasulullah SAW telah meminta kepada sekalian kaum
Muslimin agar mengorbankan harta pada jalan Allah. Tiba-tiba datanglah
Sayyidina Abu Bakar r.a membawa seluruh harta bendanya lalu meletakkannya di
hadapan baginda Rasul. Melihat banyaknya harta yang dibawa oleh Sayyidina Abu
bakar r.a bagi tujuan jihad itu maka Rasulullah SAW menjadi terkejut lalu
berkata padanya:
“Wahai Abu Bakar, kalau sudah semua harta bendamu kau korbankan, apa lagi yang
akan engkau tinggalkan buat anak-anak dan isterimu?”
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a dengan tenang menjawab, “Saya tinggalkan buat
mereka Allah dan Rasul-Nya.”
Demikianlah kehebatan jiwa Sayyidina Abu Bakar As Siddiq r.a, suatu contoh
kemurahan hati yang memang tidak dijumpai bandingannya di dunia. Memandangkan
besarnya pengorbanan beliau terhadap Islam maka wajarlah kalau Rasulullah
bersabda bahawa tegaknya agama Islam itu lantaran harta benda Siti Khadijah dan
juga Sayyidina Abu Bakar as Siddiq. Tepatlah juga kiranya iman Sayyidina Abu
Bakar r.a ditimbang dan dibandingkn dengan iman seluruh umat manusia maka berat
lagi iman Sayyidina Abu Bakar r.a. Beliau memang manusia luar biasa.
Kebesarannya telah ditakdirkan oleh ALLAH SWT untuk menjadi teman akrab
Rasulullah SAW.
Pada suatu ketika di saat Rasulullah SAW membaca khutbah yang antara lain
menyatakan bahawa: “…kepada seseorang hamba Allah yang apabila ditawarkan
untuk memilih dunia atau memilih ganjaran yang tersedia di sisi Allah, dan
hamba Allah tersebut tidak akan memilih dunia, melainkan memilih apa yang
tersedia di sisi Tuhan…”
Maka ketika mendengar khutbah Nabi demikian itu, Sayyidina Abu Bakar r.a lalu
menangis tersedu-sedu, kerana sedih dan terharu sebab beliau mendengar dan
mengerti bahawa yang dimaksudkan dalam isi khutbah tersebut ialah bahawa umur
kehidupan Rasul di dunia ini sudah hampir berakhir. Demikian kelebihan
Sayyidina Abu Bakar r.a dibanding dengan para sahabat yang lain kerana
beliaulah yang mengetahui bahawa umur Rasul hampir dekat.
Keunggulan beliau dapat dilihat dengan jelas selepas wafatnya Rasulullah SAW di
kala umat Islam hampir-hampir menjadi panik serta tidak percaya kepada
kewafatannya. Ketika itu Sayyidina Abu Bakar sedang berada di Kampung As
Sunnah. Tatkala berita kewafatan Rasulullah SAW itu sampai kepadanya, beliau
dengan segera menuju ke Madinah. Tanpa lengah-lengah lagi Sayyidina Abu Bakar
terus ke rumah puterinya Siti Aisyah dan disanalah beliau dapati tubuh
Rasulullah SAW terbujur di satu sudut di rumah. Beliau lantas membuka wajah
Rasulullah SAW dan mengucup dahinya, sambil berkata,”Wahai, betapa cantiknya
engkau ketika hidup dan betapa cantiknya ketika engkau ketika mati!”
Kemudian beliau pun keluar mendapatkan orang ramai yang sedang dalam panik itu
lalu berkata dengan nada keras:
“Wahai kaum muslimin! Barang siapa yang menyembah Muhammad, maka Muhammad telah
mati. Tetapi barang siapa menyembah Allah maka Allah selama-lamanya hidup tidak
mati!”
Seraya menaymbung membacakan sepotong ayat dari Al-Quran:
“Muhammad itu tidak lebih dari seorang Rasul seperti rasul-rasul yang terdahulu
darinya. Jika ia mati atau terbunuh, patutkah kamu berundur ke belakang, dia
tidak akan membahayai Allah sedikit pun dan sesungguhnya Allah akan memberi
ganjaran kepada orang-orang yang bersyukur.”
Sejurus sahaja mendengar ayat itu, kaum muslimin pun mendapat kepastian bahawa
Rasulullah sudah wafat. Mereka tentunya telah pernah dengar ayat itu telah
turun semasa peperangan Uhud, ketika Rasulullah SAW telah diberitakan mati
terkorban dan menyebabkan ramai pejuang-pejuang Islam berundur ke Madinah.
Tetapi mereka tidaklah memahami maksud ayat ini seperti yang difahami oleh
Sayyidina Abu Bakar r.a . Ini jelas membuktikan kecerdasan Sayyidina Abu Bakar
As Siddiq dalam memahami Islam.
Selepas kewafatan Rasulullah SAW, Sayyidina Abu Bakar r.a telah menjadi
khalifah umat Islam yang pertama. Beliau telah memberikan ucapannya yang
terkenal iaitu:
“Wahai sekalian umat! Aku telah dipilih menjadi pemimpin kamu padahal aku ini
bukanlah orang yang terbaik di antara kamu. Sebab itu jika pemerintahanku baik,
maka sokonglah, tetapi jika tidak baik, maka perbaikilah. Orang yang lemah di
antara kamu adalah kuat di sisiku hingga aku harus mengambil hak orang lain
yang berada disisinya, untuk dikembalikan kepada yang berhak semula. Patuhilah
kepadaku selama aku patuh kepada Allah dan Rasul-Nya. Akan tetapi jika aku
menderhakai Allah, maka kamu sekalian tidak harus lagi patuh kepadaku.
“Aku dipilih untuk memimpin urusan ini padahal aku enggan menerimanya. Demi
Allah aku ingin benar kalau ada di antaramu orang yang cekap untuk urusan ini.
Ketahuilah jika kamu meminta kepadaku agar aku berbuat sebagai yang telah
dilakukan oleh Rasulullah SAW sungguh aku tidak dapat memperkenankannya,
Rasulullah SAW adalah seorang hamba Allah yang dapat kurnia wahyu dari Tuhan,
kerana itu baginda terpelihara dari kesalahan-kesalahan, sedang aku ini
hanyalah manusia biasa yang tidak ada kelebihannya dari seorang pun juga di
antara kamu.”
Ini adalah satu pembaharuan dalam pemerintahan yang belum pernah dikenali oleh
orang rakyat jelata kerajaan Rom dan Parsi yang memerintah dunia Barat dan
Timur ketika itu. Sayyidina Abu Bakar hidup seperti rakyat biasa dan sangat
tidak suka didewa-dewakan,
“Ya Khalifah Allah!”
Beliau dengan segera memintas cakap orang itu dengan katanya:
“Saya bukan Khalifah Allah, saya hanya Khalifah Rasul-Nya!”
Adalah diriwayatkan bahawa pada keesokan harinya iaitu sehari setelah terpilih
sebagai Khalifah, Sayyidina Abu Bakar r.a kelihatan membawa barang perniagaanya
ke pasar. Beberapa orang yang melihat itu lalu mendekati beliau, di antaranya
Sayyidina Abu Ubaidah bin Jarrah. Sahabat besar itu berkata, “Urusan Khalifah
itu tidak boleh dicampuri dengan berniaga!”
Lalu Abu Bakar r.a bertanya, “Jadi dengan apakah aku hidup, dan bagaimana aku
membelanjai rumah tanggaku?”
Demikian sedihnya nasib yang menimpa Sayyidina Abu Bakar r.a sebab walaupun
kedudukannya sebagai Ketua Negara namun belum ada lagi ketetapan bagi seseorang
ketua pemerintah Islam memperolehi peruntukan dari harta kerajaan. Keadaan ini
mendapat perhatian dari para sahabat lalu mereka menentukan bantuan secukupnya
buat Khalifah dan keluarganya yang diambil dari Baitul Mal. Kemudian itu
baharulah Khalifah Abu Bakar meninggalkan usaha perniagaannya kerana hendak memusatkan
seluruh tenaganya untuk mengembangkan agama Islam dan menjalankan
tanggungjawabnya sebagai seorang Khalifah.
Semasa bertugas sebagai Khalifah, beliau menerima peruntukan sebanyak enam ribu
dirham sahaja setahun. Peruntukan itu tidak dibelanjakannya untuk keperluan
dirinya malahan di penghujung umurnya beliau telah memerintahkan supaya
pendapatannya itu diserahkan kembali kepada Baitul Mal.
Sebelum wafat, Sayyidina Abu Bakar r.a telah memanggil Sayyidina Umar r.a lalu
berkata, “Dengarlah hai Umar! Apa yang akan kukatakan ini, laksanakanlah. Aku
mengharap akan kembali ke hadrat Allah hari ini sebab itu sebelum matahari
terbit pada esok hari engkau hendaknya telah mengirim bala bantuan kepada Al
Munthanna. Janganlah hendaknya sesuatu bencana bagaimana pun besarnya dapat
melupakan kamu dan urusan agama dan wasiat Tuhan. Engkau telah melihat apa yang
telah kulakukan tatkala Rasulullah SAW wafat sedangkan wafatnya Rasulullah itu
adalah satu bencana yang belum pernah manusia ditimpa bencana yang sebesar itu.
Demi Allah, andaikata di waktu itu aku melalaikan perintah Allah dan RasulNya,
tentu kita telah jatuh dan mendapat seksaan Allah, dan pasti pula kota Madinah
ini telah menjadi lautan api.”
Sayyidina Abu Bakar As Siddiq menjadi khalifah dalam masa dua tahun sahaja.
Walaubagaimanapun beliau telah meletakkan asas pembangunan sebuah pemerintahan
Islam yang teguh dan kuat. Beliau juga berjaya mengatasi berbagai masalah dalam
negeri dengan segala kebijaksanaan dan kewibawaannya. Dalam masa dua tahun pemerintahannya
itu telah terbentuk rantai sejarah Islam yang merupakan lembara-lembaran yang
abadi.
Sungguh kehidupan Sayyidina Abu Bakar As Siddiq adalah penuh dengan nasihat,
penuh dengan ajaran serta kenangan-kenangan yang indah mulia. Selama dua tahun
pemerintahannya itu beliau telah berjaya menyusun tiang-tiang pokok dan
kekuatan Islam. Beliau telah membangunkan kekuatan-kekuatan yang penting bagi
memelihara kepercayaan kaum muslimin dan bagi memelihara keagungan agama Islam.
Bahkan beliau telah mengakhiri riwayat pemerintahan yang dipimpinnya dengan
menundukkan sebahagian daripada negeri Syam dan sebahagian daripada negeri
Iraq, lalu pulang ke rahmatullah dengan dada yang lapang, ketika umur baginda
menginjak 63 tahun. Baginda dikebumikan di samping makam Rasulullah SAW di
Masjid Nabi, Madinah.
Semoga riwayat serta perjuangan beliau dan para sahabat, dapat kita contohi
terutama di dalam menyokong setiap langkah Abuya bagi membuktikkan kata-kata
Rasulullah SAW bahawa Islam akan menapaki kegemilangannya untuk kali kedua di
sebelah Timur oleh Al Mahdi bersama-sama pemegang panji-panjinya iaitu Putera
Bani Tamim.
Komentar
Posting Komentar